Thursday, January 31, 2013

Penggnaan pangkat ATM perlu di kawal





Di dalam pengetahuan saya, sebagai seorang pegawai  Tentera Darat Malaysia yang telah mendapat tauliah sebagai seorang pegawai tentera daripada Yang Di Pertuan Agong, dan telah bersara, tidak ada mana-mana negara selain daripada Malaysia yang membenarkan penggunaaan pangkat Angkatan Tentera mereka selain dari penggunaannya oleh Angkatan Tentera negara masing-masing itu sendiri.

Saya telah menghubungi kawan-kawan saya, pegawai-pegawai tentera yang masih berkhidmat dan juga yang telah bersara di Singapura, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, UK, India dan Pakistan, dan mereka telah mengatakan apa yang saya kata di atas itu adalah betul dan tepat sekali.
Apakah perasaannya agaknya apabila seseorang itu yang tidak ada hak, kelayakkan, pengalaman dan tidak terlatih sebagai seorang pegawai tentera apabila mereka memakai pakaian seragam ala tentera dan pangkat ATM seperti Mejar Jeneral, Leftenan Jeneral ataupun Jeneral, misalnya, dan meletakkan  dua, tiga ataupun empat bintang di atas bahu pakaian seragam yang mereka pakai lengkap dengan beretnya atau topinya (cap) sekali?
Adakah yang si pemakai itu tahu atau sedar apakah implikasinya atau tugas dan tanggungjawab pegawai-pegawai tentera yang berpangkat  Mejar Jeneral, Leftenan Jeneral ataupun Jeneral?
Kebelakangan ini, di dalam negara kita ini, ada dilihat ramai orang-orang awam preman diberi pangkat oleh beberapa orang seperti menteri atau ketua jabatan kerajaan yang besar kemungkinannya tidak ada kuasa ataupun hak untuk memberikan pangkat-pangkat tersebut kepada orang orang awam yang mereka lantik sebagai pegawai di dalam pertubuhan awam seperti RELA, misalnya.
Baru-baru ini, presiden persatuan orang –orang yang terlibat di dalam industri hiburan pun, termasuk pelawak dan badut di antara ahli-ahli mereka, telah diberi pangkat Leftenan Kol onel (RELA) oleh seorang menteri.  Persatuan tersebut itu pula tidak ada terlibat langsung di dalam pertahanan ataupun menjaga keselamatan negara. Apakah kriteria yang digunakan untuk dia diberikan pangkat tersebut?
Setahu saya, hanya Yang Di Pertuan Agong sahaja yang ada hak dan kuasa untuk memberi tauliah kepada sesiapa yang layak untuk ditauliahkan sebagai seorang pegawai tentera dan memakai pangkat pegawai ATM samaada di dalam Tentera Darat, Tentera Laut ataupun Tentera Udara.
Adakah hak dan kuasa Yang Di Pertuan Agong itu telah dilucutkan dan penjawat awam seperti menteri dan ketua-ketua jabatan kerajaan sudah diberi kuasa untuk memberi pangkat kepada orang awam preman yang terpilih?
Kita ada Maktab Tentera Di Raja Malaysia yang melatih orang-orang muda yang layak, lelaki atau pun wanita, untuk menjadi pegawai tentera. Mereka akan ditauliahkan sebagai Leftenen Muda oleh Yang Di Pertuan Agong setelah mereka berjaya menamatkan latihan pegawai kadet dan mereka akan dihantar untuk bertugas di beberapa unit di dalam Angkatan Tentera Malaysia. Ada juga di antara mereka yang dihantar untuk dilatih di kolej tentera di beberapa buah negara lain seperti  Singapura, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, UK, India dan Pakistan. Mereka ini akan menerima tauliah mereka sebagai sebagai Leftenen Muda oleh ketua-ketua negara di mana mereka dilatih setelah mereka berjaya menamatkan latihan pegawai kadet mereka.
Semua pegawai AngkatanTentera Malaysia dimestikan mengangkat sumpah taat setia kepada Raja dan Negara sebelum menerima tauliah mereka sebagai pegawai Angkatan Tentera Malaysia.
Di dalam kerjaya kami sebagai pegawai tentera setelah ditauliahkan kami akan menjalankan latihan lanjutan, menghadiri kursus teori dan praktikal, perlu lulus beberapa peperiksaan professional sebagai pegawai tentera di beberapa peringkat sebelum kami dinaikkan ke pangkat lebih tinggi lagi seperti Leftenen, Kapten, Mejar dan seterusnya dan mereka akan diberi tugas dan tanggungjawab yang setaraf dengan pangkat yang mereka sandang. Lebih tinggi pangkatnya kurang pula penyandangnya.
Di dalam Angkatan Tentera Malaysia, hanya ada empat pegawai sahaja yang memegang pangkat tertinggi empat bintang iaitu Jeneral. Mereka adalah  Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Darat, Panglima Tentera Laut dan Panglima Tentera Udara.
Pangkat yang tertinngi sekali ialah pangkat Field Marshall (lima bintang) dan hanya Yang Di Pertuan Agong sahaja yang boleh memegang pangkat ini.
Semua pegawai dan anggota tentera samaada mereka berpangkat ataupun yang tidak berpangkat tahu akan tugas dan tanggungjawab mereka masing-masing. Mereka tahu kedudukan mereka samada mereka berada didalam sebuah seksyen, platun,  kompeni, battalion, brigade, divisyen dan seterusnya.
Akta Kor Sukarelawan Malaysia 2012 (Akta Rela) dikuatkuasakan pada 22hb Jun 2012. Walaubagaimanapun, sebagai pegawai atau anggota sukarelawan RELA, mereka bukanlah pegawai atau anggota tentera tetapi di dalam schedule (Section22) Akta Rela, pegawai dan anggota RELA menggunakan pangkat yang sama dengan pangkat yang digunakan di dalam Angkatan Tentera Malaysia daripada pangkat Mejar kepada Jeneral untuk pegawai dan daripada prebet hingga ke Kapten untuk yang bukan pegawai. Insignia dan bentuk pangkat yang mereka gunakan adalah serupa dengan apa yang digunakan di dalam Angkatan Tentera Malaysia.
Pegawai dan anggota RELA memakai pakaian seragam ala tentera lengkap dengan beret dan boleh di lihat dimana-mana di seluruh negara; mengawal terafik di dalam majlis kahwin,di kompleks beli belah, pasar, pasar malam, hospital, sekolah, dlll., misalnya. Kehadiran mereka di rata-rata tempat boleh menimbulkan syak wasangka dan memberikan satu pandangan yang negatif kepada pelancung ataupun pelawat-pelawat yang datang dari luar negara yang mungkin beranggapan dengan adanya ‘anggota-anggota tentera’ di serata tempat ianya boleh menimbulkan soalan-soalan tentang keadaan keselamatan negara kita .
Kami, pegawai dan anggota tentera yang telah bersara dan juga yang masih berkhidmat, tidak tahu apakah rasionalnya pegawai atau anggota RELA menggunakan pangkat yang sama dengan pangkat-pangkat yang digunakan pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan siapakah yang meluluskan penggunaannya. Adakah orang yang meluluskannya itu ada kuasa mutlak untuk meluluskannya dan siapakah atau melalui Akta apakah kuasa itu diperolehinya?

Saya juga musykil samaada penubuhan RELA dibincang dengan KEMENTAH dan Kementerian Dalam Negeri atau tidak.

Akta Rela 2012 seperti mengambil ringan malah mempermain-mainkan pangkat-pangkat yang digunakan secara tradisinya oleh pegawai-pegawai dan anggota-anggota Angkatan Tentera Malaysia.
Pegawai-pegawai dan anggota-anggota RELA boleh mengunakan insignia dan pangkat untuk membeza dan mengenal taraf mereka masing-masing tetapi mereka tidak seharusnya menggunakan pangkat yang sama dengan pangkat-pangkat yang digunakan oleh pegawai-pegawai dan anggota -anggota Angkatan Tentera Malaysia.
Pangkat-pangkat yang digunakan oleh pegawai-pegawai dan anggota-anggota Angkatan Tentera Malaysia sudah menjadi hak mutlak dan tradisi Angkatan Tentera Malaysia sejak sekian lama dan tidak boleh digunakan oleh lain-lain pertubuhan samaada pertubuhan kerajaan ataupun swasta.
Pakaian seragam tentera, insignia dan pangkat-pangkat yang digunakan oleh pegawai-pegawai dan anggota -anggota Angkatan Tentera Malaysia adalah hanya untuk kegunaan pegawai-pegawai dan anggota -anggota Angkatan Tentera Malaysia sahaja.
Di dalam satu majlis perkahwinan seorang artis lelaki tempatan yang diadakan secara besar-besaran baru-baru ini, pengantin lelaki dengan gahnya memakai pakaian seragam kera’ian ala tentera (ceremonial dress) lengkap dengan dua bintang di bahunya seperti seorang yang berpangkat Mejar Jeneral. Iajuga diiringi enam orang yang memakai pakaian seragam kera’ian seperti pegawai polis lengkap dengan pedang masing-masing (sword bearers).
Sepatutnya hanya pegawai tentera atau pegawai polis sahaja yang dibenarkan menggunakan  pakaian seragam kera’ian ala tentera atau polis (ceremonial dress) berpedang untuk majlis perkahwinan, orang awam tidak dibenarkan untuk menggunakannya.
Adalah satu kesalan darisegi undang-undang jika orang awam menggunakan  pakaian seragam ala tentera atau polis dan berlagak (impersonating) sebagai pegawai atau anggota tentera atau polis.
Sikap endah tak endah (lackadaisical attitude) pihak-pihak yang berkenaan menyebabkan tidak ada apa-apa tindakan diambil oleh mereka ke atas artis tersebut.
Perbuatan tidak bertanggungjawab artis itu boleh dilihat seolah-olah pakaian seragam dan pangkat tentera dan polis boleh digunakan secara suka-suka oleh sesiapa pun kerana tidak ada pihak yang ambil kisah.
Dengan adanya beberapa pihak dan individu sama ada secara salah atau dengan secara sesuka hati mereka menggunakan pangkat dan pakaian seragam ala tentera atau polis, nampaknya kemegahan dan seri menjadi pegawai tentera ataupu pegawai polis sudah hilang.
Saya rasa, jika perkara yang sama berlaku di negara-negara yang saya sebut di atas, semestinya tindakan yang tegas akan diambil oleh pihak berkuasa di negara-negara tersebut dan jika didapati bersalah, orang-orang yang menyalahgunakan pakaian seragam tentera atau ala tentera/polis dan pangkat tentera/polis akan dihukum dengan cara yang setimpal. Rakyat di negara-negara tersebut sangat menghormati  hak pegawai-pegawai dan anggota-anggota tentera dan polis mereka. Merekalah yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara-negara mereka dan yang telah berjuang di dalam beberapa peperangan seperti Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua , misalnya, untuk menjaga kedaulatan negara-negara mereka serta pasukan polis mereka yang menentukan negara-negara mereka sentiasa aman dan selamat untuk semua.
Jika penggunaan pakaian seragam tentera atau ala tentera/polis dan pangkat tentera/polis oleh orang awam dibiarkan tidak terkawal di negara kita ini, ada kemungkinan yang organisasi ala tentera akan tumbuh lengap dengan pakaian sergam ala tentera/polis mereka  dan mungkin juga lengap dengan senjata api dan ini boleh menimbulkan masalah atau kejadian yang tidak diingini dan juga ianya boleh mengancam keamanan dan keselamatan negara kita.
Kami, pegawai tentera dan polis yang telah bersara dan juga yang masih di dalam perkhidmatan, amat mengharap agar pihak berkuasa negara memandang sirius tentang penyalahgunaan pakaian seragam dan pangkat ATM dan PDRM supaya perkara yang tidak diingini boleh dielakkan daripada berlaku.


Penggunaaan pangkat ATM oleh RELA seharusnya dibatalkan dengan seberapa segera.

Sumbangan Dari:
Kapt. Hussaini bin Abdul Karim, RAD (B)

No comments:

Post a Comment